Kau Yang Ku Tunggu - Suatu Catatan Ucapan Selamat Hari Lahir buat Isteri

Setiap dering panggilan, setiap masukan pesanan
Pantas ku sambut telefon, mengharap khabar beritamu
Kemudian ku letakkan di meja, kecewa…

Ku dengar keriuk bunyi pagar, atau deruman enjin kereta
Pantas ku jenguk di halaman, menanti pulangnya kau tiba
Kemudian ku duduk di sofa, berduka…

Jiwaku sudah acap meronta, menanti kau belum juga tiba
Janjimu sering ternoda, demi amanah yang kau jaga

Ku pujuk hati yang merinduimu
Ku pujuk anak-anak yang mencarimu
Kau sedang gagah berjuang, melayan pesakit yang tak pernah kurang
Masamu untuk keluarga menjadi harga, kau bayar demi kesihatan mereka yang dijaga

Aku sunyi memencil diri, sedih kecewa dan marah juga
Meracun jiwa jadi gelisah dan hiba, namun sirna bila kau tiba
Senyumanmu, biar penat kau ukir juga
Rinduku terubat semula, ku kembali gembira

Kau yang ku tunggu
Pasti kembali menemaniku
Hadirnya kau di sisi, hidupku jadi lebih bererti


K. Anwar Shazali
Kuala Lumpur – 13 September 2014

Comments