Jangan Ada Dendam dan Benci


Hayatilah apa yang dikisahkan oleh Habib Munzir al-Musawa tentang gurunya Habib Umar Bin Hafiz yang tidak sekali-kali menunjuk dendam mahupun benci apatah lagi berlaku jahat kepada orang yang membencinya dan membenci majlis-majlis Maulid baginda Sayyidina Muhammad s.a.w.

Tidak pernah diajarkan oleh para guru yang dimuliakan kepada kita untuk berlaku jahat sekalipun kepada orang-orang yang berlaku jahat kepada kita atau kepada orang-orang yang kita sayangi atau muliakan. Bahkan dibalas pula dengan kebaikan oleh kita kepada mereka. Para guru yang dimuliakan benar-benar mengambil percontohan daripada sifat kasih dan belas baginda Sayyidina Muhammad s.a.w.

Sekalipun berdarah kepala baginda Sayyidina Muhammad s.a.w. dilempar batu oleh penduduk Toif, namun tidak pula baginda Sayyidina Muhammad s.a.w. membenarkan Malaikat Jibril a.s. menterbalikkan tanah Toif itu melainkan dihadiahkan oleh baginda Sayyidina Muhammad s.a.w. kepada mereka dengan doa sejahtera seorang Nabi dan Rasul yan mulia.

Tidak pernah pula diajarkan kepada kita oleh para guru yang kita muliakan untuk  menyimpan dendam mahupun benci. Sebesar manapun dendam dan benci orang-orang kepada kita atau kepada orang-orang yang kita sayangi atau muliakan, bukanlah lesen untuk kita menyimpan dendam dan benci terhadap sosok diri mereka. Adapun yang kita benci sekalipun kepada mereka adalah perbuatan mereka kerana bencinya Allah s.w.t. dan baginda Sayyidina Muhammad s.a.w. kepada perbuatan mereka.

Apatah lagi kepada sesama saudara (seagama) kita. Apakah kita tidak diperingatkan oleh baginda Sayyidina Muhammad s.a.w.;
"Tidak sempurna iman kamu sehinggalah kamu mengasihi saudara kamu seperti kamu mengasihi dirimu sendiri" (H.R. Bukhori dan Muslim)
 Baginda Sayyidina Muhammad s.a.w. turut bersabda;
"Barang siapa yang tidak menyayangi, dia tidak akan disayangi" (H.R. Muslim)
Maka, apakah hak kita untuk menyimpan dendam dan benci serta berlaku jahat kepada sesiapa pun sekiranya itu bukanlah apa yang diajarkan oleh para guru yang dimuliakan daripada pencontohan baginda Sayyidina Muhammad s.a.w.

Seharusnya, semakin lama kita mengambil manfaat ajaran dan didikan daripada para guru yang dimuliakan, maka semakin hampirlah kita kepada akhlak mereka yang menghampiri akhlak baginda Sayyidina Muhammad s.a.w. Dengan hampirnya kita kepada akhlak baginda Sayyidina Muhammad s.a.w., maka tentu sekali meningkat pula ketakwaan kita kepada Allah s.w.t. Kerana sesungguhnya;

"... Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti." (al-Hujurat:13)

Hayati pula tausiyah daripada Habib Ali al-Jufri tentang keikhlasan dalam mencari takwa. Yang diukur pada kita yang berusaha untuk mendalami agama, bukanlah pada imej kita tetapi pada yang terzahir daripada akhlak kita. Jangan sampai kerana kita, fitnah tertimpa ke atas para guru yang dimuliakan. Lebih malang lagi, sekiranya kerana kita, fitnah tertimpa ke atas baginda Sayyidina Muhammad s.a.w.

Biarlah kita mengikut resam padi, semakin berisi maka semakin tunduk ke bumi. Teringat Habib Izzudin al-Aidrus, guru yang dimuliakan mengkisahkan akhlak Habib Umar Bin Hafiz apabila didatangi manusia yang tidak sedikit jumlahnya hanya sekadar untuk bercerita atau menunjuk, Habib Umar Bin Hafiz hanya akan tersenyum menghadap mereka sambil mengurut janggutnya tanpa mencelah walau sepatah apa pun.  Malah dalam salah satu kisah, pertanyaan Habib Umar Bin Hafiz terhadap indahnya bangunan di sebuah kota telah menjadi sebab datangnya hidayah Allah s.w.t. sehinggakan yang ditanyakan itu memeluk Islam.

Cocok benar dengan percontohan baginda Sayyidina Muhammad s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh 'Amru Bin 'As r.a.;
"Rasulullah s.a.w. menghadapkan wajah dan perbicaraannya (memberikan perhatian) kepada sejahat-jahat kaum untuk menjinakkan hati mereka. Rasulullah s.a.w. juga menghadapkan wajah dan perbicaraannya kepadaku sehinggakan aku merasa bahawa aku adalah sebaik-baik kaum (manusia)..." (dipetik daripada Kitab Syamail Muhammad karangan Imam al-Tirmizi)
Saya menulis sebagai pesan muhasabah buat diri sendiri dan semoga ada manfaatnya buat sahabat-sahabat pembaca. Tiada lain yang saya doakan ketika ini melainkan kesatuan dan perpaduan kita para pendukung agama biar berbeza mana sekalipun dalam jalan dakwah yang kita pilih, namun biarlah kita utamakan matlamat dakwah kita yang tiada bezanya. Daripada Allah s.w.t. kita datang dan kepada Allah jualah kita dikembalikan.

Comments