Keadilan Akademik Untuk Aziz Bari !

Pada mulanya saya ditawarkan untuk menyambung pengajian dalam jurusan Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Namun setelah mengikuti pengajian selama satu semester penuh, saya memohon untuk menukar jurusan kepada Undang-Undang. Dan Prof. Dr. Abdul Aziz Bari merupakan motivasi utama keputusan saya itu sekalipun belum pernah bersua muka dengan beliau. 

Sebagai bekas pelajar beliau, keputusan UIAM menggantung tugas beliau adalah suatu yang cukup mengganggu dan menyedihkan. Keputusan tersebut adalah suatu kebiadaban dan penghinaan total kepada kebebasan akademik yang seharusnya dinikmati oleh setiap ahli akademik. Malah mencemarkan nama UIAM sebagai Taman Ilmu dan Budi. Lupakah UIAM pada beliau yang dilihat sebagai salah satu mercu yang menaikkan imej UIAM di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa? Tidak berlebihan jika saya katakan bahawa Prof. Dr. Abdul Aziz Bari merupakan maskot UIAM!




Tambah menyedihkan, tindakan UIAM seolah-olah satu pre-judgment terhadap beliau yang masih lagi dalam siasatan pihak berwajib. Belum pun ada apa-apa dakwaan rasmi dibuat di mahkamah namun UIAM telah menjatuhkan hukuman terlebih dahulu. Malah tuduhan beliau menderhaka dan menghasut untuk menderhaka hanya berdasarkan komenter kontroversi beliau juga sebenarnya tidak berasas dan tidak konsisten dengan realiti politik semasa.

Semuanya bermula dengan komentar kontroversi Prof. Dr. Abdul Aziz Bari terhadap titah baginda Sultan Selangor berhubung kes pemeriksaan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC). Pada saya, komentar beliau dinyatakan dengan ayat yang lembut berpandukan ilmu kepakaran beliau untuk menegur campurtangan baginda Sultan Selangor dalam kes  tersebut yang kelihatan tidak lazim sekalipun baginda Sultan Selangor mempunyai hak yang terjamin oleh undang-undang.

Saya yakin, komentar kontroversi beliau bukan dinyatakan bersahaja kerana ditaja atau punya kepentingan tertentu seperti tuduhan sesetengah orang terhadap beliau. Beliau punya autoriti akademik untuk menyatakan pandangan beliau dalam kes tersebut. Beliau diiktiraf sebagai pakar dalam lapangan ilmu undang-undang perlembagaan. Malah menjalankan kajian khusus bertahun-tahun lamanya dalam tajuk monarki dan perlembagaan di Malaysia. Malah pandangan yang beliau nyatakan dalam komentar kontroversi tersebut disokong dengan hujah akademik berpandukan ilmu kepakaran beliau.

Dengan mempertahankan Prof. Dr. Abdul Aziz Bari, saya tidak semestinya bersetuju dengan komentar kontroversi beliau. Saya berbeza pandangan dengan beliau dalam menanggapi kes tersebut. Namun, saya percaya bahawa kita semua punya pandangan yang kemungkinan sama dan kemungkinan juga berbeza. Namun persamaan dan perbezaan ini bukan asas untuk menentukan samada pandangan kita itu betul atau salah. Pandangan kita tidak semestinya betul sekiranya 'ramai orang bersuara' bersetuju dengan pandangan kita. Dan pandangan kita tidak semestinya salah sekiranya 'ramai orang bersuara' tidak bersetuju dengan pandangan kita. Yang pentingnya adalah, pandangan kita dinyatakan berpandukan ilmu dengan niat yang ikhlas dan adab mulia. Bukannya berkiblatkan nafsu!

Komentar kontroversi Prof. Dr. Abdul Aziz Bari boleh mengundang pelbagai pandangan lain. Salah atau betul pandangan beliau boleh sama-sama kita bahaskan. Kalau setuju, jangan hanya hanya taklid buta (menurut sahaja tanpa ilmu). Kalau tidak setuju, bahaskan dengan hujah balas. Komentar kontroversi beliau wajib dinilai secara akademik dan bukannya dengan emosi dan sentimen. Bukan setahun dua beliau berkecimpung dalam kajian akademik dan  lapangan ilmu yang berkenaan. Dan bukan kali pertama ini beliau menyatakan pandangan yang kritis. Malah pernah sebelum-sebelum ini dengan cara yang lebih vokal.

Adalah suatu kejahilan untuk menggelar beliau dengan tuduhan pengkhianat agama dan perderhaka negara! Sedangkan beliau merupakan autoriti akademik yang menjadi sumber rujukan untuk mengukuhkan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan merupakan satu-satunya ahli akademik di Malaysia yang membuat kajian khusus tentang monarki dan perlembagaan dalam Malaysia. 

Lupakah kita dengan peranan beliau memperkukuhkan kedudukan Islam dalam memberikan tafsiran Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan? Lupakah kita dengan sumbangan beliau dalam memberikan pandangan yang mengukuhkan kedudukan Islam terhadap kes Che Omar Che Soh dan Meor Atiqulrahman? Lupakah kita dengan jasa beliau dalam membantu mengukuhkan kedudukan Islam dalam penghakiman kes Azlina Jailani @ Lina Joy?
 
UIAM jangan lupa sumbangan dan jasa Prof. Dr. Abdul Azizi Bari sepanjang 22 tahun perkhidmatan beliau di Taman Ilmu dan Budi. Saya percaya, tekanan kuasa politik bukan datang hanya pada kali ini. Persoalannya, bersediakan UIAM menjadi penyokong dan pendokong kebebasan akademik untuk menyuburkan ilmu dan budi tamannya? Buktikan dengan sokongan dan dokongan kepada keadilan akademik untuk Prof. Dr. Abdul Aziz Bari!


Comments

hafiz dasar said…
sya kurang bersetuju dengan gaya bantahan berdemo didepan masjid atas dasar isu ini masih dalam siasatan tata tertib.cdngn yg lebih berhemat pada pndngn sy adalah mengambil tandatngan memorandum anti pergantungan dari pelajar dan pensyarah uia dan universiti luar.. semua perkara yang tidak kita persetujui sekarang ni, berdemo menjadi pilihan lagilah ia melibatkan mahasiswa... ya sya akui kualiti universiti malysia merudum disebbkan ramai pakar2 akdmk di gam pndpt mereka, namun kesan lebh besar apabila mahasiswa di sibukkan dengn politik luar..
ayam kampung said…
setuju ada cara lain yang lebih diplomasi dan matang selain daripada demonstrasi...

uiam juga patut beri perhatian. beri masa untuk jawab surat tunjuk sebab bukan dengan cara gantung tugas...

p/s orang politik memang suka menyelit cari publisiti bila ada isu yang mampu bentuk sentimen besar...