Taqwa Yang Dicari

Kering sudah air liur ini bicara tentang puasa dan Ramadhan dalam program Manisnya Kurma Ini anjuran YADIM Zon Sarawak yang saya selaraskan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (PERKEPIS) dan Kumpulan Nasyid HAWARY. 10 buah sekolah dan institusi sudah kami ziarahi bertemu dengan belia remaja untuk bicara tentang puasa dan Ramadhan sebagai motivasi. 

Sibuk bicara di hadapan penonton yang bukan sedikit daripada kalangan belia remaja malah ada juga orang-orang tua yang turut memasang telinga. Puasa itu wajib, ganjaran pahala, pintu neraka tutup, pintu syurga buka dan taqwa...?


Pencarian makna taqwa dalam Ramadhan kali ini benar-benar menguji saya. Benarlah sabda baginda Rasulullah s.a.w. tatkala kembali ke Madinah al-Munawwarah daripada kemenangan Badr al-Kubra bahawa kita akan menempuhi perang yang lebih besar iaitu melawan hawa nafsu. Saya kira, musuh utama dalam pencarian makna taqwa adalah hawa nafsu. Tidak hairanlah sekiranya di kala mulut becok bicara tentang taqwa hanya umpama tin kosong kerana maknanya belum lagi sampai pada diri yang berbicara. Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas menegaskan bahawa ilmu itu adalah ketibaan makna pada diri atau diri pada makna. Nah... makna taqwa itu sekarang apa?


Firman Allah s.w.t. tentang taqwa dalam al-Quran dan pesan sabda baginda Rasulullah s.a.w. tentang taqwa. Dibaca, dibaca dan dibaca... adakah sudah sampai makna taqwa? Benar, sudah diberi erti akan taqwa itu oleh para alim ulama daripada golongan salaf dan khalaf. Bual bicara antara Sayyidina Umar al-Khattab r.a. bersama Sayyidina Ubay bin Kaab r.a. memberi erti taqwa, Sayyidina Ali k.w.j pun turut memberi erti taqwa, Imam as-Syafi'e r.a. pun beri erti taqwa. Tapi sekiranya dibaca, didengar dan dihafal pengertiannya adakah maksudnya sudah sampai makna akan ilmu taqwa pada diri kita atau sudah sampaikah diri kita pada makna taqwa? Indah pada mulut yang bicara tidak semestinya indah juga pada hatinya.

Nak dibanding pada amal ibadah sepanjang Ramadhan ini, memang tidak selayaknya menjadi tetamu Lailatul Qadar. Biar khatam pun al-Quran, biar basah pun bibir berzikir, biar putus pun diri dari urusan dunia kalau hati dipenuhi fahsya' dan mungkar, apa layakkah mengetuk pintu Lailatul Qadar? Diri ini menjadi tetamu Ramadhan tapi Ramadhan itu jugalah yang dihina dan dipersiakan.

Masih mencari makna taqwa untuk disubur dalam diri. Bukan sekadar menjaga diri daripada kemungkaran dan kemaksiatan, bukan sekadar menanam gentar hati pada gencarnya neraka Tuhan, bukan sekadar termangu diri menunggu Tuhan berikan. Taqwa yang dicari agar terubat hati pada Ilahi.

Comments