Tunduknya UMNO Kepada Istana


Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO petang semalam telah memutuskan untuk menerima perlantikan Y.B. Ahmad Said oleh Istana sebagai Menteri Besar Terengganu menggantikan Y.B. Dato’ Seri Idris Jusoh sebelum ini.

Terengganu merupakan negeri terakhir menerima seorang Menteri Besar pasca PRU 12 tempoh hari. Selepas kemelut perlantikan Menteri Besar yang berpanjangan di antara Istana dan BN atau secara khususnya UMNO, Istana telah bertindak lanjut melantik Ahmad Said dan meneruskan upacara angkat sumpah Menteri Besar yang baru sekalipun diboikot oleh 23 ADUN Terengganu daripada kalangan ahli BN yang lain.

Berikutan itu, Ahmad Said telah diura-urakan dengan kesan buruk akibat menerima perlantikan tersebut, di antaranya berhadapan dengan pemecatan beliau daripada UMNO. Beliau juga diugut untuk berdepan dengan undi tidak percaya sejurus ADUN Terengganu bersidang selain daripada kemungkinan menghadapi masalah di dalam perlantikan exco kerajaan negeri.

Pertembungan di antara Istana dan UMNO di dalam kes ini telah memperlihatkan satu perkembangan politik tanah air yang baru. Jika sebelum ini, lebih-lebih lagi selepas pemindaan Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan had kuasa sultan, Istana dilihat tidak langsung cuba mencampuri urusan berkaitan dengan perlantikan jawatan-jawatan eksekutif. Namun, nyata “Tsunami Politik” PRU 12 telah membawa 1001 macam perubahan kepada scenario politik Negara. Istana kini kelihatan lebih sensitif di dalam urusan-urusan yang melibatkan kepentingan rakyat.

Bermula dengan pertembungan Istana dan Barisan Rakyat di Perak, Y.B. Ir. Mohd Nizar menghadapi sedikit kesukaran untuk menjadi Menteri Besar di atas kesefahaman longgar di antara pakatan Barisan Rakyat. Melanjut pula ke Perlis yang menyaksikan tersungkurnya Y.B. Dato’ Seri Shahidan Kassim di pintu Menteri Besar Perlis di dalam pertembungan Istana dan UMNO dan akhirnya di Terenggan yang hanya selesai semalam menyaksikan peristiwa yang sama menimpa Dato’ Seri Idris Jusoh. Mujur pertembungan yang sama tidak berlanjutan di Selangor dan Johor selepas dapat diselesaikan dengan baik.

Peristiwa penukaran Menteri Besar di Perlis dan Terengganu oleh Istana sekalipun surat lantikan semula untuk mengekalkan Dato’ Seri Shahidan Kassim dan Dato’ Seri Idris Jusoh telah dikeluarkan oleh BN dengan tandatangan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri merupakan suatu yang memalukan. UMNO secara khusus menerima tamparan hebat dek kerana penolakan Istana untuk menerima lantikan semula tersebut. Tambah memalukan, di kedua-dua negeri di mana BN mengaku telah menang besar akhirnya terpaksa melalui peristiwa sedemikian. Pastinya wujud masalah-masalah dalaman di dalam perhubungan di antara Istana dan UMNO yang diselindungkan untuk menyembunyikan kegagalan sebenar UMNO / BN di dalam penggal pemerintahan yang lepas.

Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi sekali lagi menampakkan kegagalannya memimpin UMNO dan BN dengan pengakhiran pertembungan mereka dengan Istana tidak memihak kepada mereka. Sudah haus tekak hilang suara menegaskan bahawa Istana sudah melampaui bidang kuasa yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan walaupun sebenarnya tidak pula UMNO menjelaskan secara terperinci di mana silap Istana di dalam melaksanakan kuasa budi bicaranya di dalam urusan perlantikan ahli badan eksekutif. Kerana sebenarnya, Istana memang punya hak di dalam urusan tersebut.

Walau apa pun, kebenaran akhirnya tertegak. Istana telah memainkan peranan yang cukup positif di dalam menggunakan kuasa budi bicaranya seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan. Istana telah bertindak sebaiknya bagi menjamin kebajikan dan kepentingan rakyat di kala parti-parti politik bertindak memperbodohkan rakyat. UMNO akur akan hal ini dan sekaligus tunduk kepada Istana. Daulat Tuanku!

Comments