Siapa Sebenarnya Derhaka?


Saya sendiri tidak dapat menerima tindakan Y.B. Lim Kit Siang menulis surat menyeru ahli-ahli DAP yang mengisi kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri Perak untuk memulaukan upacara angkat sumpah Menteri Besar Perak yang baru tempoh hari. Ini disebabkan Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah telah berkenan melantik Y.B. Ir. Mohd. Nizar daripada PAS sebagai Menteri Besar yang baru. Tindakan Y.B. Lim Kit Siang secara kasarnya boleh dianggap satu penderhakaan terhadap Kesultanan Negeri Perak.

Namun, saya segera sedar bahawa di sebalik penderhakaan beliau, nyata beliau punya asas-asas kukuh untuk bertindak sedemikian. DAP yang memenangi majoriti kerusi DUN Perak tentunya daripada segi kapasiti lebih layak untuk mengisi jawatan Menteri Besar, namun ia terhalang oleh peruntukan di dalam Perlembagaan Negeri Perak yang hanya membenarkan seorang Melayu Islam sahaja dilantik sebagai Menteri Besar. Namun, kenapa Istana tidak melantik seorang Melayu daripada PKR yang namanya juga dicalonkan ke Istana untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar? Lebih-lebih lagi PKR merupakan parti Barisan Rakyat yang kedua terbesar memenangi kerusi DUN Perak. Tentunya ia hak Istana untuk menjawabnya. Perlantikan Y.B. Ir. Mohd. Nizar daripada parti yang hanya memenangi enam kerusi DUN Perak, suatu jumlah yang kecil dibandingkan dengan parti-parti lain di dalam pakatan Barisan Rakyat, menimbulkan persoalan.

Maka, Y.B. Lim Kit Siang mempunyai justifikasi untuk bertindak sedemikian tetapi tidak pula melepaskan liabilitinya daripada digelar penderhaka. Kerana itu, beliau segera memohon ampun kepada Istana di atas suratnya sehari sebelum itu. Namun tindakannya itu, walaupun provokatif, tetapi ia merupakan suatu kemenangan daripada segi strategi politik di dalam memancing terus kepercayaan pengundi cina kepada DAP. Y.B. Lim Kit Siang tidak kehilangan apa-apa disebabkan tindakannya itu malah telah menambah populariti DAP di kalangan masyarakat Cina.

Kes di atas adalah di antara senario menarik pasca PRU 12 yang terjadi di kalangan pakatan Barisan Rakyat. Selain itu, mungkin senario di Selangor agak menarik untuk diperhatikan, namun tidaklah sampai ke tahap pelabelan penderhaka seperti yang terjadi ke atas Y.B. Lim Kit Siang. Negeri-negeri lain yang dimenangi oleh Barisan Rakyat tidak pula menunjukkan hubungan tegang Barisan Rakyat dengan Istana, malah menunjukkan satu perkembangan yang progresif di pihak Istana di dalam memelihara ketuanan Melayu-Islam di samping kepentingan rakyat kebanyakan.

Namun, yang menjadi satu kepelikan ialah apa yang terjadi terhadap hubungan di antara Barisan Nasional atau secara khususnya UMNO dengan pihak Istana. Dimulai dengan ketegangan yang berlaku di Utara Malaysia, Perlis akhirnya menerima Menteri Besar baru selepas Y.B. Dato’ Seri Shahidan Kassim tidak diperkenan oleh Raja Perlis untuk menyambung tugas sebagai Menteri Besar Perlis untuk penggal yang baru. Istana berkenan melantik Y.B. Dato’ Isa Sabu menjawat jawatan Menteri Besar Perlis pasca PRU 12.

Amukan Y.B. Dato’ Seri Shahidan Kassim telah tampak di muka-muka media. Kemarahan beliau tidak dapat diselindung lagi. Beliau ulang alik dari Perlis ke Putrajaya untuk memeastikan Istana menurut sahaja surat pengesahan lantikan oleh Perdana Menteri supaya dirinya dilantik semula. Namun sia-sia, Istana dengan kuasa perlembagaan negeri yang memerlukan supaya calon Menteri Besar yang diperkenankan Istana untuk mendapat majoriti sokongan ADUN parti yang menang. Y.B. Dato’ Isa Sabu nyata memenangi perlumbaan yang turut memperlihatkan kejayaan Istana di dalam menentukan Menteri Besar Perlis yang baru tanpa perlu akur kepada Putrajaya.

Persoalannya sekarang, tidakkah tindakan Y.B. Dato’ Seri Shahidan Kassim dilihat sebagai satu penderhakaan terhadap Istana? Sekalipun beliau tidak menulis surat meminta supaya upacara angkat sumpah Menteri Besar Perlis dipulaukan. Tidakkah tindakannya melalui kenyataan-kenyataan media yang menampakkan tentangan dan sikap provokatifnya terhadap Istana menunjukkan beliau menderhaka terhadap keputusan Istana? Tambahan lagi dengan tidak menghadiri upacara angkat sumpah Menteri Besar Perlis yang baru, bukankah beliau menammpakkan sikap derhakanya terhadap Istana?


Jika itu tidak cukup menunjukkan penderhakaan UMNO terhadap institusi kesultanan di Malaysia, tidak cukup kita melihat perkembangan sehingga ke hari ini di Terengganu? Upacara angkat sumpah Y.B. Ahmad Said sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru menggantikan Y.B. Dato’ Seri Idris Jusoh menyaksikan drama penderhakaan UMNO terhadap Istana. Kesemua 23 ADUN yang terdiri daripada ahli-ahli UMNO memulaukan upacara tersebut meninggalkan Y.B. Ahmad Said mengangkat sumpah keseorangan. Malah beliau diancam untuk dibuang keahlian daripada UMNO kerana tidak menurut perintah pucuk pimpinan UMNO untuk menurut perintah Istana. Siapa UMNO untuk melampaui kedaulatan Sultan? Adakah Presiden UMNO sudah ditabal menjadi Sultan Malaysia sekarang jika hendak dibandingkan dengan YDPA Sultan Mizan atau pemangku baginda di Terengganu?

Tidak cukup derhakakah UMNO dengan tindakan yang sudah terang menampakkan tentangan terhadap Istana di Terengganu dan Perlis?

Jika peristiwa penderhakaan Y.B. Lim Kit Siang telah menyebabkan di kalangan ahli UMNO membuat demonstrasi dengan membawa sepanduk dan kain rentang menyatakan sokongan terhadap Istana dan slogan ”Daulat Tuanku”, apakah pula yang ahli UMNO perlu buat mendepani penderhakaan yang dibuat oleh pucuk pimpinan UMNO terhadap Istana?

Comments