Pengenalan al-Allamah al-Muhaddith Dr. Mahmud Said Mamduh al-Husaini

Beliau merupakan seorang ulama’ terkenal di bumi Mesir yang lahir pada 10 Mac 1952. Bermazhab Syafi’i dan berpegang dengan aqidah yang digariskan oleh Imam Abu Hasan al-Asy’ari. Beliau juga adalah seorang ulama’ Ahli Sunnah hari ini yang kuat mempertahankan aqidah Ahli Sunnah wal Jama’ah dari serangan musuh-musuh.

Beliau telah berjaya memperolehi Ijazah Kedoktoran dari Universiti Muhammad ke-V Ribath pada tahun 2005 dan telah mempelajari ilmu syariat daripada ramai ulama’. Di antara gurunya yang terkenal ialah:

  1. Syeikh Muhammad Isa ibn Yaasin al-Fadani
  2. Sayyid Abdul Aziz ibn al-Siddiq al-Ghumari
  3. Syeikh Ismail Uthman Zain al-Makki
  4. Syeikh Abdullah Sa’id al-Lahji

Beliau juga aktif dalam bidang penulisan dan telah menghasilkan lebih dari 30 buah kitab. Di antara karyanya yang terpenting ialah:

  1. Tasynif al-Asma’ bi Syuyukh al-Ijazah wa al-Sama’
  2. Wusul al-Tahani bi Ithbat Sunniyah al-Subhah wa al-Rad’ala al-Albani
  3. Tanbih al-Muslim fi Difa’ ‘an Sohih Muslim
  4. Raf’ul al-Minarah bi Takhrij Ahadith al-Tawassul wa al-Ziarah
  5. al-Ta’rif bi Auham man Qassama al-Sunnah ila Sohih wa Dhaif (6 jilid). Kitab ini menunjukkan kepakaran beliau yang tinggi dalam bidang hadith
  6. al-Ihtifal bi Ma’rifah al-Ruwah al-Thiqaat allazi laisu fi Tahzib al-Kamal (4 jilid)
  7. Kafsy al-Sutur ‘amma Usykila min Ahkam al-Qubur
  8. Ghayah al-Tabjil wa Tark al-Qat’ fi al-Tafdhil

Ketika belajar dengan Syeikh Yaasin al-Fadani, beliau menjadi murid istimewa gurunya itu. Apabila mengajar, Syeikh Yaasin al-Fadani pasti akan menyuruh beliau duduk di sebelah kanannya. Atas kepercayaan gurunya itu, beliau telah dilantik menjadi khalifahnya di Mesir.

Keintelektualannya terutama dalam bidang hadith mendapat perhatian dan pujian dari ramai ulama’ yang tidak asing dalam dunia Islam. Seorang ulama’ yang tidak asing dalam dunia Islam, Sayyid Abdullah al-Siddiq al-Ghumari menyatakan bahawa Syeikh Mamduh telah menyelam dalam lautan hadith melalui jalan ahli hadith.

Bahkan ramai di kalangan ulama’ mutakhirin yan sentiasa menasihati murid-murid mereka supaya membaca kitab penulisan beliau. Di antara mereka ialah Habib Umar ibn Muhammad ibn Salim ibn Hafiz. Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki sering menjadikan kitab beliau sebagai rujukan kerana kepakarannya dalam bidang hadith.

Beliau juga dianggap sebagai mutafannin pada zaman ini kerana penguasaan dan kepakarannya dalam pelbagai bidang ilmu. Kitabnya menjadi hujjah pada zaman ini. Selaku khadim hadith Rasulullah s.a.w. dan Ahli Bait Rasulullah s.a.w. yang mulia, beliau amat mencintai dan tidak pernah jemu mempertahankan hadth Baginda s.a.w. dan Ahli Baitnya.


(sumber: Yaysan Sofa Negeri Sembilan)


Comments