Perhimpunan BERSIH: Berjaya atau Tidak, Pemerintah Tetap Dipandang Serong

Penulis kembali daripada Perhimpunan BERSIH dengan seribu satu kekecewaan dan kekesalan. Perhimpunan rakyat untuk menuntut pilihanraya yang bersih hari ini berjalan dengan seribu satu drama sandiwara yang cukup menjelekkan mata. Rakyat hadir ke Dataran Merdeka seawal pagi tadi untuk menjayakan perhimpunan tersebut di atas semangat patriotik untuk memastikan Malaysia tidak terjerumus ke kancah kezaliman.

Namun, hak kebebasan untuk berhimpun seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan nyata dinafikan. Perhimpunan aman yang sepatutnya berjalan petang tadi telah digagalkan dengan seribu satu usaha oleh pihak pemerintah dengan menggunakan apa cara sekalipun melalui kuasa politik penguasaan, polis, media, penipuan dan bermacam strategi lagi.

Jalan-jalanraya yang menuju masuk ke Dataran Merdeka telah disekat semenjak tengah malam semalam. Ini terus berlanjutan sehingga menyebabkan kesesakan jalanraya yang amat teruk sehingga menyusahkan rakyat keseluruhannya yang berada di sekitar bandaraya.

Bukan itu sahaja, bahkan khidmat pengangkutan awam LRT ke stesen-stesen Majid Jamek dan Pasar Seni juga telah diberhentikan atas arahan pihak atasan sehingga notis lanjut. Kesemua ini untuk menggagalkan perhimpunan awam yang merupakan hak asasi manusia yang telah diterima bukan sahaja dunia bahkan oleh Perlembagaan Persekutuan sekalipun.

Penulis, sempat menyaksikan betapa pihak FRU yang ditempatkan di Jalan Tunku Abdul Rahman menggunakan provokasi melulu dengan mengangkat suara dan membentak-bentak untuk mengganggu emosi rakyat yang berada di situ. Malah, penulis terkejut apabila pihak FRU telah memancut air yang mengandungi kimia dan melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan rakyat yang berhimpun secara aman di situ. Niat rakyat untuk berhimpun secara aman di situ telah dibalas dengan tindakan yang tidak sepatutnya. Penulis sendiri terkena tempias dan menyebabkan kepedihan pada mata.

Bersambung…

Comments