Membuat Pilihan…


Kehidupan kita memang tidak pernah lari daripada berdepan dengan pilihan. Kadang-kadang, banyak pilihan yang ada dan tidak kurang juga situasi di mana kita berdepan dengan pilihan yang tunggal. Jumlah pilihan tidak menjamin kesukaran mahupun kemudahan kita untuk membuat pilihan. Namun, hakikat yang pasti, kita harus membuat keputusan, yang mana satu akan kita pilih?

Pilihan-pilihan yang kita pilih selama ini di dalam kehidupan kita telah meletakkan kita di mana kita berdiri hari ini. Pilihan-pilihan kita jualah yang telah memandu kita di dalam menjalani kehidupan sehingga ke hari ini. Letak duduk kita hari ini adalah hasil daripada keputusan-keputusan pilihan kita yang lepas. Maka sudah tentu, masa hadapan kita bergantung dengan pilihan yang kita buat hari ini.

Ketentuan Allah tentu sahaja mendahului segalanya. Kerana telah tertulis di luh mahfuz akan perjalanan kehidupan kita selama kita hidup dan bernafas. Inilah ketentuan taqdir Allah yang sedang kita lalui. Menunjukkan kebesaran Allah sebagai Yang Maha Mengetahui. Tiada satu pun daripada kehidupan kita yang terlepas daripada pengetahuan Allah. Kehidupan kita di masa silam, masa kini dan masa depan tidak dapat lari atau disembunyikan daripada pengetahuan Yang Maha Mengetahui.

“… kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya ruh dan dia diperintahkan dengan 4 kalimat; iaitu menulis rezekinya, ajalnya, amalanya dan adakah dia celaka atau bahagia. …” (H.R. Imam Bukhori dan Muslim)

Namun, tidak juga bermaknya bahawa kita tidak dapat memilih sekalipun kehidupan kita sudah ditentukan oleh Allah. Di sinilah terdapat perbahsan yang hebat di kalangan para ulama’ berhubung dengan kemahuan diri manusia dan ketentuan Allah s.w.t. Adakah dapat manusia membuat pilihan sendiri di kala sudah tertulis taqdir buatnya?

Imam Al-Ghazali membahaskan tentang manusia punya kemahuan diri (free will) di dalam menjalani kehidupan seharian. Di samping pengetahuan Allah akan perjalanan sebermula dan sepenghujung kehidupan kita, kita masih diberikan ruang untuk memilih.

Inilah yang dapat kita simpulkan daripada kewujudan Qada’ dan Qadar Allah. Di samping ketentuan Allah untuk kita seperti yang tercatit di luh mahfuz, kita juga punya kemahuan diri untuk memilih. Pilihan yang kita buat disertai dengan do’a dan harap kepada Allah. Pilihan yang kita buat hasil daripada petunjuk dan istikhorah. Pilihan yang kita buat untuk memandu kita menjadi manusia yang lebih baik mengikut panduan suci.

Maka, tidak menjadi satu perkara yang sia-sia apabila kita memilih pilihan yang mana untuk kita ikut di dalam kehidupan. Yang pastinya, pilihan apapun yang kita pilih, yakinlah bahawa ia sebenarnya sudah pun berada di dalam ketentuan dan pengetahuan Allah ke atas diri kita. Sekiranya pilihan kita salah, Allah tidak pernah menyempitkan seluruh kehidupan kita selama-lamanya. Kerana kehidupan kita dipenuhi dengan cabaran pilihan. Allah sediakan untuk kita peluang untuk memilih lagi sehingga kita mampu untuk berjalan di atas aluan yang betul. Sekiranya pilihan kita betul pun, jangan kita bongkak, kerana tidak semestinya kita akan membuat pilihan yang betul di dalam pilihan kita yang mendatang.

Sesukar manapun atau semudah manapun pilihan yang berada di hadapan kita, keputusan untuk memilih yang mana satu harus dibuat di dalam kerendahan diri sebagai hamba Allah yang sentiasa bergantung dan berharap kepada-Nya. Apa-apa pun pilihan yang kita buat, kita kembalikan kepada Allah untuk meredhoinya. Syaratnya, haruslah kita memilih melalui cara yang sudah pun diunjurkan oleh Islam.



“tidak rugi mereka yang bersyuro dan tidak menyesal mereka yang beristikhorah” (Maksud Hadith. Taraf hadith: Kuat, Sohih)

Mudah-mudahan, pilihan yang kita buat di dalam kehidupan dari semasa ke semasa akan memandu kita untuk menjadi lebih dekat dengan-Nya. Kerana akhirnya, matlamat kehidupan kita tidak pernah gugat. Iaitu kembalinya ruh kita ke pangkuan Sang Pencipta Yang Maha Agung. Soalnya, adakah kita di dalam keadaan celaka atau bahagia?

Comments