Lihat Anak Kecil Itu...

Lihat anak kecil itu,
Bermain di tepian pantai Rhu,
Berlari mengejar ombak biru,
Yang menghempas pantai bersama dingin bayu,

Lihat anak kecil itu,
Mereka berlari ke sana ke mari,
Mencari gembira dan suka,
Pada suasana hidup desa,
Mentafsir erti hidup,
Buat jalanan hari muka,

Lihat anak kecil itu,
Duduk di pasiran,
Menghitung butir-butir pasir,
Sambil menilai kedewasaan,
Pada diri mereka yang berusia,
Buat pencontohan,
Beginilah hidup mereka di masa depan,

Lihat anak kecil itu,
Lihatlah pada matanya,
Punya 1001 rahsia,
Tak terlihat dek zahir mata,

Tidakkah kau lihat pada matanya?
Terkandung cita dan harap,
Terkandung impian dan masa depan,
Terkandung gagasan dan wawasan,
Buat Agama, Bangsa dan Negara,

Lihat anak kecl itu,
Lihatlah pada matanya,
Tidakkah kau lihat padanya?
Pemuda-pemudi harapan,
Membawa angin deru perubahan,
Buat keluarga dan masyarakat,
Menggapai erti maksud hakikat,
Kitalah umat terbaik umat keramat,

Lihat anak kecil itu,
Lihatlah pada matanya,
Tidakkah kau lihat padanya?
Mata seorang peguam negara,
Mata seorang jutawan dunia,
Mata seorang professor terkemuka,
Tidakkah kau lihat?
Kerjaya nan cemerlang,
Buat anak kecil ini,
Menggapai maksud kegemilangan,

Lihat anak kecil itu,
Lihatlah pada matanya,
Lihatlah wahai ibu bapa,
Lihatlah wahai abang kakak,
Lihatlah wahai siswa siswi muda,
Lihatlah harapan, masa depan,
Pada kejernihan ketulusan matanya,
Tidakkah kau lihat padanya?

Lihatlah...
Lihatlah...
Lihatlah pada matanya,
Akan tingginya agama kita,
Akan mulianya bangsa kita,
akan majunya negara kita,
Jangan kecewakan apa yang kau lihat pada matanya,
Nescaya tidaklah kau akan dikecewakan,

Lihat anak kecil itu,
Lihatlah pada matanya.


oleh:
anwarshazali
Pantai Rhu Muda, Marang, Terengganu
29 Jun 2007

*dideklamasikan di dalam Majlis Perasmian Penutupan Program Baktisiswa Marang, 30 jun 2007

Comments