Pesta Petang-Petang...

Teng-teng, galah panjang, main jadi, pukul berapa nenek harimau dan bermacam lagi permainan zaman kanak-kanak yang cukup menggamit rindu penulis ke zaman lalu. Mengimbas kembali zaman itu, kadang-kadang membuatkan penulis ketawa kecil dek tercuit dengan telatah nakal yang sering melucukan. Wajah teman sepermainan singgah seorang demi seorang; Umar, Boboy, Shamber, Epi, Osman dan ramai lagi yang sudah pun membawa haluan diri masing-masing. Ada di antara mereka sudah pun terputus hubungan dengan penulis disebabkan tradisi pindah randah yang suatu masa dahulu tidak asing bagi penulis sekeluarga. Namun memori yang ditinggalkan tetap segar dan jernih di minda penulis.

Alam kanak-kanak sememangnya cukup mengasyikkan, cukup menyeronokkan. Bersama dengan teman-teman sepermainan tak kira ketika di Peringgit Jaya atau Taman Hang Tuah di Melaka mahupun ketika di Jalan Ellis atau Taman Sri Sena di Kuching merupakan memori yang tak terlupakan. Suasana petang kawasan perumahan penulis ketika itu pasti dan pasti dihuni oleh sorak teriak girang gembira kanak-kanak bermain sepuasnya. Teman, jiran dan seluruh penduduk perumahan ikut sama sertai pesta petang-petang hingga lewat senja hari.

Kanak-kanak, lelaki dan perempuan, ada yang berlari, ada berbasikal dan ada juga yang berkumpulan bermain permainan galah panjang, seremban, teng-teng, masak-masak, polis entry dan bermacam lagi. Semuanya bermain sepuas hati membawa sekali imaginasi yang menyerikan nikmat petang seorang kanak-kanak.

Tak kurang juga yang kemudiannya marah-marah, merajuk, menangis tetapi kemudiannya kembali bermain. Tidak hari ini, esok dia pasti datang bermain lagi. Kerana kehidupan kami tidak boleh seorang-seorang. Kanak-kanak sebaya kami tidak boleh tidak, terikat dengan ikatan hati sejati yang pasti dikenang-kenang.

Ibu bapa juga tidak hanya mengeram sofa-sofa empuk di rumah. Mereka mundar-mandir dengan tangan tersimpuh di belakang. Terkadangnya mendukung adik-adik kami, memerhati kami bermain sesuka hati. Adik kami pasti melirik dengan hati cemburu dan nanti malam bermimpi bermain bersama kami.

Ada juga yang duduk-duduk senang di berandan rumah jiran sambil menikmati kopi petang dijamu dengan biskut kering. Duduk berbual mesra sesama jiran tetangga. Apa sahaja yang dibualkan, kami kanak-kanak pasti datang mengacau, menumpang minum, menjamah biskut nan sekeping.

Tak kurang juga yang turut serta bermain bersama kami. Ikut sama melompat, ikut sama jadi, ikut sama melempar selipar bermain kaki tiga dan berlari kaki ayam sekeliling taman. Indah sungguh zaman itu, tidak terasa bezanya kami kanak-kanak sesama manusia walau berbeza umur. Masing-masing mencari hati senang selepas penat sehari balik dari sekolah belajar, balaik dari pejabat berkerja.

Kami berpesta-pestaan setiap petang sekalipun hujan rintis-rintis datang menjengah, hanya kan tamat apabila mega merah senja maghrib datang menjelang. Ketika itu baru suara ibu-ibu datang berkumandang, panggilan pulau ibarat azan datang memanggil datang, dan kami pulang ke rumah yang menanti setia. Kami pulang dengan hati puas, gembira dan akan kami nanti pesta petang esok pula.

Bagaimana mungkin akan penulis lupa akan pesta petang-petang ini yang sudah menjadi sejarah kehidupan yang membentuk diri penulis hari ini. Hidup bersama-sama, aku, kau dan dia, kami, mereka dan kita, sama-sama membina kemeriahan hidup bergantung suka dan duka bersama.

Permainan kanak-kanak itu yang memulakannya...

Comments