Kesukarelaan Berbayar: Mampukah Menyelesaikan Penghakisan Budaya Sukarela?

Dewan Masyarakat edisi Mei yang lepas memuatkan pelbagai maklumat tentang NGO Belia dan Pelajar Melayu. Pandangan daripada kalangan pemimpin belia dan ahli akademik tambah menyerikan lagi isu tersebut. Yang menariknya, apabila isu tersebut turut memuatkan pelbagai fakta terkini yang memperlihatkan kepada pembaca tentang realiti generasi belia hari muka..

Pada hemat penulis, isu belia seumpama ini bukan sedikit, tetapi telah banyak dibicarakan samada di dalam bentuk penulisan, pembentangan kertas kerja mahupun kajian-kajian akademik. Daripada pidato berapi-api sehinggalah demonstrasi jalanan, isu belia sememangnya merupakan satu topik yang cukup hangat untuk dibicarakan sepanjang zaman.

Namun, di dalam penulisan kali ini, penulis tidak bermaksud untuk menyentuh isu belia secara keseluruhan. Kerana untuk membicarakan isu belia daripada sudut sosio-politik sahaja sudah cukup untuk mengarang sebuah buku. Penulis tertarik untuk memberikan sedikit komentar sekaligus menilai pendapat yang dikeluarkan oleh Datuk Jaafar Rahim di dalam rencananya yang mencadangkan konsep “Kesukarelaan Berbayar” di kalangan belia di dalam Dewan Masyarakat keluaran tersebut.

Perlu diingatkan, penulis tidak punya apa-apa sentimen atau sangka buruk terhadap beliau, malah penulis menghormati pendapat beliau sebagai seorang veteran di lapangan kesukarelaan. Namun di dalam masa yang sama, penulis hasilkan juga pendapat penulis tersendiri sebagai seorang sukarelawan generasi muda hari ini.

Datuk Jaafar Rahim memperkenal konsep “Kesukarelaan Berbayar” di kalangan belia sebagai satu penyelesaian kepada masalah ketandusan sukarelawan di kalangan generasi muda hari ini[1]. Untuk itu, beliau memperkenalkan konsep tersebut bagi menarik minat generasi muda untuk menceburkan diri di lapangan kesukarelaan. Maksudnya, mereka yang berkhidmat sebagai sukarela akan dibayar di atas khidmat sukarelanya.

Sebelum penulis pergi lebih lanjut, ada baiknya kita teliti definasi sukarela. Sukarela didefinasikan sebagai dengan kehendak sendiri, tidak dipaksa-paksa, tidak dikerah atau dengan rela hati[2].

Manakala Dr. Azizan Bahari menerangkan kesukarelaan sebagai sesuatu kegiatan atau kerja yang dilakukan oleh seseorang dengan niat ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran[3].

Maka, apa yang boleh difahami daripada penerangan dan definasi di atas ialah kesukarelaan merupakan satu konsep perbuatan yang dikerjakan untuk satu pihak lain tanpa diarahkan oleh sesiapa iaitu dengan kehendak sendiri untuk melakukan sesebuah pekerjaan itu dengan rela hati tanpa mengharapkan sebarang balasan ganjaran di dalam bentuk material.

Kita dapat lihat betapa sifat kesukarelaan ini dahulunya pernah subur di kalangan belia kampung (penulis kira pembaca sekalian sempat untuk merasai suasana ini). Penulis sendiri yang dibesarkan di kawasan bandar sempat merasai suasana kesukarelaan di kampung halaman penulis yang terletak di pinggiran bandar.

Suasana kesukarelaan itu dapat dilihat daripada aktiviti gotong-royong khususnya di dalam majlis-majlis keramaian kampung. Belia-belia kampung datang membantu memastikan kelancaran majlis tanpa disuruh oleh sesiapa dan tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran. Jika adapun upah oleh tuan rumah majlis, ia adalah daripada sifat pemurah tuan rumah selari dengan adat budaya timur yang berterima kasih. Kerana itu, dahulunya, setiap majlis keramaian di kampung, masalah kekurangan tenaga kerja tidak pernah timbul. Malah daripada pengalaman penulis sendiri, sifat kesukarelaan ini diterapkan oleh ibu bapa seawal usia kanak-kanak. Walaupun pada awalnya secara paksa, tetapi sepeningkatan usia, sifat ini kian subur dan akan timbul rasa bersalah sekiranya kita tidak menyumbang tenaga untuk membantu.

Penulis gunakan perkataan “dahulu” di dalam perenggan di atas adalah disebabkan hasil daripada pemerhatian penulis, terhakisnya sifat kesukarelaan hari ini bukan hanya di kalangan belia bandar, tetapi turut melibatkan belia kampung.

Perbezaan di antara suasana bandar dan kampung tidaklah perlu untuk penulis terangkan secara khusus di sini melainkan memerlukan pemahaman pembaca sekalin terhadap intipati maksud melalui pemerhatian sosial secara nasional hari ini.

Hari ini, belia kampung tidak lagi dilihat secergas dahulu datang menghulurkan bantuan tenaga kerja di dalam majlis-majlis keramaian. Malah, masalah kekurangan tenaga kerja timbul di sana-sini di dalam penganjuran majlis keramaian di kampung. Jika adapun sekelompok belia yang datang membantu bergotong-royong, mereka sudah “berani” atau secara terbuka mengharapkan ganjaran material seperti rokok dan wang ringgit. Ini jelas sekali memperlihatkan kepada kita satu fenomena yang cukup janggal di masa dahulu tetapi tidak sekarang. Sekiranya di kampung sudah timbul secara serius fenomena seumpama ini, apatah lagi di bandar. Dan kita boleh menilai daripada penceritaan di atas akan sifat kesukarelaan di kalangan belia hari muka.

Melihatkan kepada fenomena di atas, maka penulis merasakan penghakisan sifat kesukarelaan dan ketandusan sukarelawan muda tidak hanya disebabkan oleh faktor luaran yang dinilai daripada aspek material. Tetapi ia turut melibatkan faktor yang lebih mendalam iaitu aspek nilai yang begitu fundemental di dalam sesebuah masyarakat.

Maka, penulis secara dasarnya tidak bersetuju dengan konsep “Kesukarelaan Berbayar” seperti yang diperkenalkan oleh Datuk Jaafar Rahim di dalam menyelesaikan ketandusan sukarelawan muda hari ini. Kerana pada hemat penulis, ia seolah-olah tikus menampung labu. Dengan cadangan tersebut, penulis akui ia akan sedikit sebanyak menyelesaikan masalah ketandusan sukarelawan generasi muda. Tetapi di dalam masa yang sama, ia akan menyebabkan nilai kepada sifat kesukarelaan itu jatuh merudum.

Maka tidaklah wajar lagi untuk kesukarelaan itu digelar sebagai sukarela sekiranya “sukarelawan” sebenarnya melakukan kerja tersebut untuk mendapatkan gaji atau apa-apa bentuk ganjaran daripadanya. Sekiranya begitu, kerja sukarela ini seolah-olah dijadikan sebagai sebuah profesyen yang menjamin keuntungan kepada penggiatnya. Tidaklah perlu untuk “sukarelawan” dibayar ini digelar sebagai sukarelawan lagi kerana gelaran “pekerja masyarakat” atau “pekerja kebajikan” adalah lebih sesuai buat mereka.

Sifat kesukarelaan itu merupakan cerminan daripada adat budaya timur yang suka tolong-menolong dengan ikhlas sesama sendiri di dalam sesebuah komuniti masyarakat. Maka cerminan tradisi ini mempunyai nilai yang amat fundemental dan sentimental terhadap adat budaya timur itu sendiri. Nilaiannya tidak dapat diukur dengan material kerana ia begitu mengakar di dalam masyarakat.

Cuma dewasa ini sahaja ketandusan sukarelawan merupakan natijah daripada penghakisan sifat kesukarelaan ini di dalam masyarakat timbul dan semakain membarah. Hal in dapat dilihat dengan jelas di kalangan generasi muda. Penulis tidak bercadang untuk membincangkan punca-punca kepada masalah ini. Cukup sekadar untuk penulis menyatakan bahawa fenomena ini cukup buruk implikasinya kepada masyarakat di dalam tempoh masa 10 ke 20 tahun daripada sekarang. Tidak mustahil di masa akan datang, masyarakat sudah sepenuhnya bersifat individualistik dan amat materialistik.

Maka dengan cadangan “kesukarelaan berbayar” itu hanya akan mempercepatkan lagi proses menjadikan masyarakat ini bermata duitan dan tidak langsung sebenarnya menanam sifat murni kesukarelaan di dalam membantu masyarakat sekeliling yang memerlukan. Masyarakt akan dibutakan daripada nilai sebenar kesukarelaan kerana dimomokkan dengan ganjaran material.

Penulis mengharapkan supaya penulisan ini dilihat sebagai satu pandangan umum berdasarkan penilaian awal penulis terhadap cadangan yang Datuk Jaafar Rahim kemukakan. Seperti yang penulis maklumkan pada awal lagi, penulis cuma menulis komentar sebagai seorang sukarelawan generasi muda yang melihat perkara daripada aspek falsafah dan idealisme sesebuah tindakan. Mudahan diperpanjangkan perbicaraan kita untuk menilai secara telus akan punca dan solusi kepada ketandusan sukarealawan muda hari ini sekaligus merawat virus yang menjadi punca kepada terhakisnya sifat kesukarelaan di kalangan masyarakat hari muka.

___________________________
[1] Dewan Masyarakat Edisi Mei, DBP
[2] p. 1313, Kamus Dewan Edisi ke-3, DBP
[3] p. 31, Pergerakan Belia Persoalan dan Cabaran, Azizan Bahari, IKD

Comments