Mufti Perlu Berani Bersuara

Tidak cukup hanya dengan Datuk Seri Dr. Harussani Zakaria sahaja yang sering terkehadapan di dalam menyuarakan pandangannya tentang sesuatu isu daripada aspek agama. Suara perseorangan susah didengar tanpa sokongan mahupun ulasan kontra daripada tokoh agamawan yang lain. Mufti, sebagai perlambangan kepada institusi agama negeri mahupun Negara perlu memainkan peranan aktif di dalam mendepani isu-isu semasa yang timbul di era yang semakin mencabar hari ini.

Walaupun Datuk Seri Harussani Zakaria seringkali menjadi jurucakap kepada para mufti yang lain, namun para mufti yang perlu turut sama membuat kenyataan yang mendorong ke arah keputusan yang dicapai. Supaya secara psikologinya, kesannya akan nampak lebih basar.

Daripada isu rokok, kongsi raya, judi SMS, Islam Liberal dan banyak lagi, mufti-mufti perlu berani menyuarakan pendapat masing-masing berdasarkan ketokohan ilmiah yang ada pada diri mereka. Para mufti tidak harus membiarkan orang awam membahaskan sesuka hati isu-isu semasa yang timbul tanpa mempunyai garis panduan ilmiah yang betul. Kerana natijahnya, isu-isu semasa khususnya yang berkaitan dengan agama akan terpesong daripada garis panduan syara’ dan mengakibatkan agama ditafsirkan sesuka hati serta membuka ruang untuk dimanipulasi oleh musush-musuh agama. Oleh kerana itu, para mufti merupakan orang yang paling sesuai di dalam memimpin perbahasan mahupun perbincangan sesuatu isu.

Para mufti harus mempunyai keberanian untuk bersuara tanpa mengenal bulu. Ini adalah perlu demi memastikan sesebuah isu dilihat daripada aspek kebenaran dan keadilan dan bukannya condong ke arah pihak-pihak tertentu. Perkiraan samada isu-isu yang timbul adalah sensitif atau tidak walaupun perlu diambil kira namun tidak bermaksud para mufti hilang hak di dalam menyuarakan pandangan mereka. Cuma perbahasan atau perbincangan yang berlegar sekitar isu-isu sensitive boleh dibuat secara tertutup dengan pihak-pihak yang berkenaan.

Sikap non-partisan juga perlu dimiliki oleh para mufti di dalam membicarakan sesebuah isu. Tolak ke tepi keahlian kepada sesebuah parti, para mufti perlu untuk melihat sesebuah isu daripada kacamata ilmiah dan bukannya daripada kacamata ahli parti.

Di samping menjadi pakar rujuk hal ehwal agama bagi setiap negeri, setiap mufti juga perlu sentiasa peka dan berkembang selari dengan isu-isu semasa yang timbul. Supaya, tidak terkapai-kapai apabila sesebuah isu baru timbul. Jangan bila sudah terhantuk baru nak terngadah. Kelambatan sesebuah fatwa dikeluarkan apabila isu-isu baru timbul sebenarnya memberikan gambaran seolah-olah hukum fiqh di Malaysia tidak berkembang selari dengan peredaran zaman. Walaupun, memang diakui bahawa untuk mengeluarkan sesebuah fatwa memerlukan perbahasan dan perbincangan ilmiah yang teliti, namun sekiranya sudah awal-awal lagi para mufti bersedia maka perkara ini tidak menjadi masalah.

Secara kesimpulannya, keberanian menegakkan keadilan dan kebenaran perlu ada pada setiap mufti. Keyakinan dan kepercayaan umat kepada mufti perlu digarap dari semasa ke semasa melalui pelbagai cara yang difikirkan sesuai. Supaya umat tidak lagi terhuyung-hayang di dalam menempuh cabaran globalisasi dunia yang hakikatnya mencabar daripada semua aspek khususnya hal ehwal agama. Mufti merupaka orang yang selayakanya untuk memnadu umat supaya tidak tergolong di dalam golongan yang tersesat daripada jalanan lurus yang sudah digariskan Tuhan. Penulisan ini bukanlah bermaksud untuk merendahkan taraf mufti di mata awam. Cuma sebagai penilaian yang perlu dilihat daripada aspek yang konstruktif.

Comments