Merobah Tradisi Lapuk Kepimpinan Belia

Kesediaan Datuk Seri Dr. Khir Toyo (Presiden MBM) dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam (Presiden Kelab Belia 4B) untuk melepaskan jawatan tertinggi pimpinan badan belia merupakan keputusan yang amat signifikan di dalam usaha perjuangan merobah tradisi lapuk kepimpinan belia negara. Malah, keputusan tersebut menunjukkan keterbukaan mereka dalam menerajui arus perjuangan belia selama ini. Langkah tersebut seharusnya diteladani oleh pimpinan badan belia yang sudah melepasi had umur belia dan daripada kalangan yang memegang jawatan politik. Datuk Seri Dr. Khir Toyo dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam telah menunjukkan contoh terbaik seorang pemimpin belia yang mahukan kesegaran di dalam arus perjuangan belia negara dan kesinambungannya daripada satu generasi ke satu generasi.

Namun, ini hanyalah permulaan kepada perjuangan panjang dalam menjadikan kepimpinan belia bebas daripada sebarang sekatan, hasil daripada pengaruh politik kepartian mahupun permasalahan jurang generasi. Keputusan Datuk Seri Dr. Khir Toyo dan Datuk Seri Mohd. Ali Rustam untuk berundur merupakan batu asas kepada perjuangan perubahan di dalam tradisi lapuk kepimpinan belia negara.

Sebelum ini, badan belia dipimpin oleh tokoh-tokoh belia yang turut aktif dan menjawat jawatan di dalam parti pemerintah mahupun pembangkang. Ini menyebabkan komitmen terhadap badan belia yang dipimpin berbelah bahagi kerana tugasan yang bertindan. Akibatnya komitmen terpaksa dibahagi-bahagikan di antara parti dan badan belia. Kecelaruan fokus juga timbul sehingga menyebabkan perjuangan ideologi parti terbawa-bawa ke dalam perjuangan belia. Hal ini menyebabkan wujudnya “penjara maya” yang memenjarakan idealisme dan aktivisme belia kerana terpaksa bertindak mengikut ideologi kepartian. Penjara maya yang terbina secara tidak langsung hasil daripada pengaruh politik kepartian telah membantutkan proses kematangan belia di dalam badan-badan belia negara. Pemikiran belia diibaratkan sebagai katak di bawah tempurung yang hanya mampu melihat sesuatu isu daripada ruang lingkup yang amat terhad dan gagal memahaminya dari pelbagai aspek. Lihat sahaja belia-belia negara hari ini yang rata-ratanya bergerak ibarat lembu dicucuk hidung. Ke mana ia dibawa, ke situlah ia. Natijahnya, lahirlah belia “pak turut” yang lemah dan lesu. Ibarat robot yang hanya boleh diarah tetapi tidak mampu untuk mengarah.

Manakala, permasalahan jurang generasi pula timbul hasil daripada keberadaan generasi belia yang sudah melepasi had umur belia di dalam kepimpinan belia negara. Ia menyebabkan pembawaan badan belia yang dipimpin turut tua seiring dengan usia pemimpinnya. Kerana itu, badan belia dan perjuangannya ditolak oleh majoriti belia negara kerana tidak serasi dengan arus belia semasa. Ini mengakibatkan wujudnya jurang di antara negara dengan belia. Belia hilang rasa kebersamaan untuk turut sama di dalam membawa aspirasi negara. Fenomena hari ini menjadi contoh di mana hanya 3.1% sahaja di kalangan belia yang berpersatuan dan menyumbang kepada pembangunan peradaban negara. Majoriti yang lain hanya mengambil sikap bersendiri dan ini menjadi titik tolak penularan nilai individualisme di dalam generasi baru masyarakat. Nilai-nilai nasionalisme dan patriotisme semakin pudar yang hanya akan merosakkan hubungan masyarakat dengan negara. Natijahnya, masyarakat ke mana dan negara jadi ke mana.

Kini, sudah tiba masanya perubahan di dalam tradisi lapuk kepimpinan belia dilaksanakan. Belia negara perlu membebaskan diri daripada “penjara maya” yang sudah sekian lama memenjarakan idealisme dan aktivisme belia. Fahaman politik kepartian perlu ditolak secara total untuk menjamin kebebasan badan belia daripada sebarang pengaruh yang boleh menyekat atau menghadkan badan belia di dalam membawa arus perjuangan belia. Ini adalah penting, demi perjuangan untuk melahirkan belia negara yang perkasa untuk menyambut arus kepimpinan negara di masa mendatang. Belia perlu keluar daripada kepompong pemikiran sempit untuk melihat fenomena global masa kini secara kreatif dan kritis. Dan mengaplikasikan pemikiran tersebut dalam bentuk tindakan yang bersesuaian dengan suasana lokal atau setempat. Inilah yang dimaksudkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak (Timbalan Perdana Menteri) sebagai pemikiran glokal. Pemikiran global secara kreatif dan kritis amat perlu untuk diterapkan di kalangan belia supaya dapat melahirkan generasi kepimpinan negara yang mampu membawa perubahan lokal di dalam negara untuk menggegar dunia.

Badan belia perlu membawa arus perjuangan belia negara secara bebas berlandaskan undang-undang atas dasar kebenaran dan keadilan. Belia negara perlu turut bersama-sama dalam usaha memperjuangkan aspirasi untuk memartabatkan negara di mata dunia. Dalam masa yang sama menentang segala kejahatan dan kezaliman yang berlaku. Perjuangan belia ini harus dibawa dengan niat yang ikhlas untuk membangunkan peradaban negara yang maju di dalam nilai tamadun kemodenannya dan kaya dengan nilai tamadun kemanusiaannya Belia sebagai sebahagian daripada masyarakat perlu mengambil langkah berani untuk memimpin perjuangan suara masyarakat keseluruhannya untuk menuntut kehidupan bernegara yang bebas daripada kezaliman dan kejahatan.

Muhammad Abu Bakar di dalam bukunya, “Mahasiswa Menggugat” merakamkan bagaimana mahasiswa sebagai golongan belia pada masa itu merasakan bahawa mereka bukanlah pelajar semata-mata tetapi adalah ahli kepada masyarakat besar. Lantaran itu, mereka merasa kebertanggungjawaban yang tinggi untuk menjadi masyarakat yang sedar, bertanggungjawab, progresif, dinamik dan memainkan peranan sewajarnya sebagai golongan yang boleh berfikir. Belia ibarat trompet masyarakat yang menyuarakan suara daripada akar umbi masyarakat negara.

Belia negara bukan hanya memperjuangkan arus perjuangan perubahan di kalangan belia negara semata malah perlu untuk memperjuangkan perubahan di dalam masyarakat negara keseluruhannya. Memetik kata-kata Dato’ Dr. Siddiq Fadhil (Presiden Kolej Darul Hikmah) di dalam ucaptamanya di Seminar Pengurusan Islam anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM) di Hotel J.W. Marriott baru-baru ini, masyarakat hari ini sedang dilanda kebanjiran idola dan kemarau teladan. Belia perlu menyelamatkan masyarakat kini daripada terus lemas di dalam kebanjiran idola yang tidak selari dengan nilai-nilai agama dan budaya masyarakat Timur. Belia perlu membawa alternatif baru bagi menggantikan idola yang sia-sia dengan menawarkan teladan-teladan yang kaya dengan nilai mulia yang terpancar daripada diri belia sendiri untuk mengeluarkan masyarakat daripada kemarau teladan yang melanda selama ini. Belia negara perlu menunjukkan contoh yang baik untuk ikutan masyarakat keseluruhan khususnya di kalangan generasi yang baru memasuki zaman belia.

Badan belia negara di dalam membawa arus perjuangan belia juga harus bersifat akomodatif dan fleksibel. Ini penting supaya perjuangan belia dapat disesuaikan kepada setiap peringkat belia dan berubah mengikut keperluan belia semasa. Pembawaan arus perjuangan belia yang bersifat akomodatif dan fleksibel, mampu mewujudkan gelombang atau fenomena baru di kalangan belia negara kerana keserasian perjuangan belia dengan belia negara semasa. Malah, perjuangan belia akan beroleh kesinambungan dan diteruskan oleh generasi belia baru yang mendatang dengan rentak yang sesuai mengikut peredaran zaman. Dalam masa yang sama, ini mampu mendekatkan malah menghapuskan terus jurang yang wujud di antara negara dengan belia selama ini. Belia akan mempunyai rasa kebersamaan yang tinggi bersama-sama dengan negara di dalam proses pembangunan peradaban negara. Maka dengan sendirinya, nilai nasionalisme dan patriotisme tertanam padu di dalam semangat belia negara. Rasa pertanggungjawaban yang tinggi ini akan membawa kebaikan hakiki kepada negara dengan melahirkan generasi masyarakat yang berpadu demi kesejahteraan negara.

Perjuangan belia tidak boleh didefinasikan di dalam ruang lingkup yang sempit lagi rigid. Perjuangan belia bukanlah semata-mata demonstrasi yang dicemari dengan nilai vandalisme, kekasaran dan keganasan yang sememangnya bukanlah daripada nilai-nilai agama mahupun budaya kita masyarakat Timur. Perjuangan ini perlu dilaksanakan berlandaskan nilai-nilai mulia atas dasar kebenaran dan keadilan selari dengan undang-undang negara. Kreativiti di dalam membawa arus perjuangan belia adalah perlu supaya setiap ruang dan peluang yang tersedia dapat dimanfaatkan dengan secukupnya. Banyak lagi metodologi sedia ada dan yang baru boleh digunapakai di dalam memimpin arus perjuangan belia. Belia negara tidak boleh dengan sewenang-wenangnya mencelup dan mengaplikasi rentak perjuangan belia luar negara ke dalam negara kerana suasana dan keberatan isu yang diperjuangkan mungkin berbeza. Negara kita yang dikenali dengan adab sopan yang kaya dengan nilai-nilai mulia tidak boleh dicemari dengan nilai-nilai yang tidak selari dengannya. Di sini kita lihat akan kepentingan untuk berfikir secara glokal seperti yang disebutkan tadi dalam memimpin perjuangan belia. Kerana suasana negara ketika ini tidak memerlukan untuk belia memimpin perjuangan belia secara kasar. Belia harus menjadi contoh ikutan dengan memimpin perjuangan ini melalui pembawaan yang berhikmah iaitu sesuai mengikut kepelbagaian situasi yang dihadapi.

Belia negara tidak harus disekat daripada turut sama menyumbang kepada negara. Malah, seharusnya belia diberikan sokongan dan dorongan yang selayaknya demi membawa arus perjuangan perubahan di kalangan belia dan masyarakat keseluruhannya. Ruang dan peluang untuk belia turut sama melibatkan diri di dalam mendukung aspirasi negara untuk mencapai wawasan 2020 perlulah diluaskan lagi. Supaya belia beroleh wadah yang seluasnya untuk berjuang bersama-sama dengan kepimpinan negara. Suara belia harus didengar dan diberi perhatian yang wajar sebagai tanda menghargai keterlibatan belia dalam mendukung aspirasi negara. Namun yang demikian, belia negara juga harus sedar akan kelemahan dan kekurangan yang mahu tidak mahu, pastinya akan terdapat di kalangan belia. Kerana tiada kesempurnaan di dunia yang sempurna. Maka oleh itu, teguran dan nasihat yang sepatutnya perlulah diberikan daripada semasa ke semasa kepada belia melalui pendekatan dan cara yang berhikmah. Supaya akhirnya, akan wujud kemesraan dan keakraban jalinan di antara belia negara sebagai pelapis kepimpinan negara dengan pemerintah semasa dalam membangunkan peradaban negara. Kesinambungan di antara belia dan pemerintah akan menjamin masa depan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Kesimpulannya, perjuangan merobah tradisi lapuk kepimpinan belia perlu dilaksanakan dengan komited dan konsisten. Kerana perjuangan belia tidak terhenti setakat ini sahaja. Belia harus diperkasakan di dalam semua aspek. Supaya dapat disediakan untuk memimpin perjuangan negara di masa mendatang. Latihan kepimpinan belia dan masyarakat pada masa ini akan membantu belia negara untuk mencapai tahap kematangan yang secukupnya untuk memimpin negara ke mercu kegemilangan. Segala usaha perlu didokong oleh semua pihak dalam menjamin masa depan negara di tangan belia hari ini sebagai pelapis kepimpinan negara mendatang. Perjuangan pemerkasaan belia bukanlah teralas di bahu belia semata-mata, kerana setiap lapisan masyarakat adalah pelengkap kepada usaha ini. Belia keseluruhannya perlu memanfaatkan segala ruang dan peluang yang ada untuk menyediakan diri di dalam proses transisi kepimpinan belia masa kini. Belia negara sudah semestinya perlu bergerak daripada fasa kepengikutan kepada fasa kepimpinan untuk memimpin arus perjuangan belia dan masyarakat keseluruhannya. Belia Perkasa, Negara Menggegar Dunia.

Comments