SEKULARISME : PENJAJAHAN BARAT KE ATAS MINDA UMAT

 
Minda umat ini sudah lama disekularkan oleh agenda sekularisme barat. Kita juga adalah produk dari sekularisasi barat ke atas nenek moyang kita sebermulanya kejatuhan khilafah Islamiah di muka bumi Allah ini. Namun, kita tidak sedar akan hal ini kerana rata-rata kita masih lagi tenggelam dengan kehidupan duniawi yang melemaskan kita dengan harta dan pangkat yang berjela-jela. Sekularisme barat ini sudah membarah dan menjalar di serata tubuh umat ini sehingga menjadikan kita tidak bermaya untuk bangkit dalam memperjuangkan yang hak dan menyanggah kebatilan.

Seringkali sekularisme hanya diertikan dalam satu definisi sempit oleh sesetengah golongan yang mahu memelihara kepentingan mereka. Apa yang ingin penulis bawakan di sini supaya umat ini dapat membuka seluas-luasnya pemikiran yang ada untuk sama-sama kita fikirkan betapa luasnya pengaruh sekularisme yang sebenarnya menjadi api dalam sekam yang memakan sedikit demi sedikit Islam agama yang kita agungkan. Walaupun pada hakikat luarannya memang benar sekular dilihat sebagai pemisahan Islam daripada budaya kehidupan seharian namun jika perhalusi lagi sekularisme barat ke atas kita telah membawa impak yang lebih besar. Lihat saja bagaimana reaksi kita jika ditanyakan tentang usrah. Apa maksud dan pengertian usrah? Kita tidak boleh menidakkan bahawa gambaran pertama kita tentang usrah di dalam pemikiran kita adalah satu bentuk perkumpulan yang membicarakan hal-ehwal agama. Kemudian apa pula reaksi kita jika ditanyakan tentang keluarga. Apa maksud dan pengertian keluarga? Maka sudah tentu terbayang di pemikiran kita akan ibu-bapa, adik-beradik serta kaum kerabat yang punya hubungan darah bersama-sama kita. Nah… apa lagi yang mahu kita kesampingkan? Sedang persoalan mudah seperti ini yang sebenarnya membawa maksud yang sama tetapi cuma ditukar corak bahasanya telah membawa jawapan yang cukup berbeza.

Bermula dari sekularisme, barat sudah mula mencucuk lebih banyak jarum-jarum kesesatan di dalam umat ini. Maka tercipta gelaran-gelaran seperti golongan Islam liberal dan golongan fundamental Islam. Lihat sahaja bagaimana barat mengeksploitasi ajaran Islam yang membawa pendekatan kesederhanaan di dalam Islam dengan mencipta ungkapan liberal Islam yang kemudiannya digelar kepada golongan yang mengamalkan Islam secara sederhana. Ya ! memang benar Islam membawa ajaran wasotthiah tetapi bukannya menyuruh umatnya untuk mengamalkan Islam secara wasottiah. Lihat, bagaimana barat menipu umat ini. Kemudian digelarkan pula puak fundamental Islam yang dianggap barat sebagai punca keganasan. Kerana puak ini mereka definisikan sebagai golongan yang ekstremis di dalam Islam. Salah kah kita untuk jadi golongan fundemental Islam ini? Tidak !!! tidak sama sekali malah ini lah sebenarnya yang perlu kita lakukan iaitu menjadikan Islam sebagai asas dalam setiap pekerjaan kita seharian. Cuma kita, umat ini tertipu dengan pemahaman sekular barat yang mahu kita mengikut telunjuk pendefinisian Islam mengikut erti kata mereka.

Menyentuh pula isu keganasan serantau. Cukup sedih apabila melihat sesetengah golonngan umara’ dan ulama’ sesuka hati mengeluarkan fatwa dan arahan yang bersandarkan pada nafsu semata. Mereka ini yang diungkapkan Rasulullah s.a.w. di dalam hadith baginda golongan yang menghidap penyakit wahan iaitu cintakan dunia dan takut akan mati. Golongan seperti ini lah yang membawa kesesatan kepada umat ini dan berjangkit dengan penyakit wahan ini. Golongan ini lah yang berusaha untuk mengikut telunjuk barat. Seperti yang kita lihat apabila barat mengaitkan Islam dengan keganasan, golongan inilah yang tampil kononnya memperjuangkan Islam dengan memperingati dunia bahawa Islam tidak membawa keganasan, Islam adalah agama yang aman dan Islam tidak menganjurkan keganasan. Ya ! memang benar apa yang golongan ini perjuangkan tetapi, kenapa tidak terus mereka katakan kepada dunia bahawa Islam juga adalah agama yang punya maruah, juga punya hati budi dan kami umat Islam akan berjuang habis-habisan sehingga ke titisan darah yang terakhir jika ada sesiapa yang mencabuli maruah dan hak kami. Kita tidak boleh hanya bertindak sewenang-wenang dalam hanya terus mengikuti dan cuba menjadikan Islam itu sebagai apa yang barat definisikan.

Isu perpecahan umat Islam dari aspek kepelbagaian jemaah sebenarnya telah lama bermula iaitu sejak dari pemerintahan Saidina Ali k.w.j. lagi. Namun ia tidak bermakna Allah s.w.t. hanya menerima segolongan jemaah sahaja untuk ditempatkan dalam keredhaan-Nya. Sebetulnya perpecahan itu sebenarnya satu rahmat supaya jemaah-jemaah yang ada dapat saling lengkap-melengkapi di anatar satu sama lain. Maka jelas, bahawa setiap jemaah ada keistimewaan dan kelemahannya tersendiri, terpulanglah method apa yang digunakan asalkan ia tidak lari dari ajaran Islam yang sebenar maka siapa kita untuk menentukan salah atau betulnya perjuangan sesebuah jemaah itu dari pandangan Allah s.w.t. Isu perpecahan dan pertelagahan jemaah sebenarnya juga adalah hasil dari sekularisasi barat ke atas minda umat ini supaya kita dalam terpinga-pinga dan akhirnya lari dari jemaah kerana lasan perpecahan yang berlaku di dunia Islam. Akhirnya Islam akan lemah begitu sahaj kerana umatnya sendiri lari daripada perpaduan Islam yang sememangnya cukup unik untuk diperkatakan. Jika benar hanya satu jemaah sahaja yang Allah redha ke atasnya, jika jemaah itu terdapat di sebelah bumi yang sana, bagaimana pula dengan kita di sebelah bumi sini? Bukankah Islam itu agama syumul maka sudah tentu inilah antara hikmah kepelbagaian jemaah supaya setiap umat ini dapat merasa kenikmatan bersama jemaah Islamiah dalam memperjuangkan misi kekhalifahan kita di muka bumi ini. 

Sekularisme barat adalah satu topik yang sebenarnya cukup panjang untuk diterangkan di dalam selampir kertas. Penulis hanya dapat membicarakan sebahagian kecil sahaja sebagai gambaran awal kebahayaan sekularisasi barat ini. Harapan utama ialah kita dapat membebaskan diri dari pemikiran sempit ini. Sekularisasi barat sentiasa berjalan, bebaskan diri kita dari penjajahan ini. Pokoknya adalah diri kita, umat ini sendiri, samada kita mahu atau tidak untuk bersama-sama dengan Islam sebagai cara hidup kita.

Wallahua’lam.

Comments